Total Pageviews

Thursday, May 9, 2013

Zaman Emas Itu Telah Berlalu

Beliau jarang memuji saya.

Antara pesannya yang berbekas di telinga kiri "sumbatkan pasir ke dalam mulut mereka yang puji-puji kamu".
Kerana setiap pujian itu harus kembali kepada Dia Yang Berhak.

Pernah sekali saya bertanyakan beliau, "enak tak daging ayam peliharaan sendiri ini?"
Tanya beliau pula, " adakah kamu tauke ayam kurus?"

Saya ulangi lagi pertanyaan tersebut. Namun jawapan berbalik kepada soalan yang sama, sehinggalah saya mengaku, " ya, saya tauke ayam kurus."

dan dalam anggukan disulami kunyahan nasi berlaukkan ayam masak cili api kegemaran kami, terdengar perkataan 'sedap' dalam nada yang perlahan.

Sebagaimana kuningnya kuah lemak cili api berkenaan, zaman emas itu telah berlalu.

Dan amat jarang kini saya dapat menikmati keenakan masakan seperti itu, bersama teman makan yang peluh terpecik sewaktu rancak mengayuh suapan. "Dalam yang makan," ujar beliau. Cuma sesekali kalau pulang ke utara, atau singgah di kampung yang negerinya bersempadankan sungai, dapatlah sipi-sipi mengulangi nostalgia itu. Makan dalam.

Di bibirnya sentiasa menceritakan perihal Rasullulah dan para sahabat - Abu Bakar al Siddiq, Umar al-Khattab, Usman bin Affan dan Saidina Ali Karamallahu Wajhah.

Maka kami adik-beradik diajarkan menunggang kuda, antara riadah yang dianjurkan oleh Baginda. Tapi saya tidak sekuat abang, dengan kaki dan tangannya gagah mengekang pelana dan ras. Pernah suatu masa kuda tunggangan saya berlari membelah padang dan berhenti betul-betul di tepi jalanraya. Mujur tak dilanggar lori balak. Dalam selorohnya "dia ni sesuai jadi jockey, badan ringan tak macam abang dia".

Ya, sekali lagi zaman emas itu telah berlalu. Meskipun kini ada ketika berpeluang menunggang di dalam paddock pun jadilah, buat lepas gian.

Namun bab berenang tidak pula diajarnya. Cuma dibawa kami adik-beradik ke sungai berbatu, berendam setelah pekena paha kambing bakar. Belajar sendiri-sendiri. Ketika adik-beradik lain riang-ria bermain air, saya mencari tempat yang dalam untuk menyelam dan berenang-renang ke tepian. Pernah suatu masa, hanyut dilarikan jeram. Mujur tak lemas atau sampai ke selat Melaka. Pula selepas kejadian dituduh pula membaling tulang ayam ke kepala adik. Bila masa pula saya jadi hantu air di situ?

Dan lagi zaman emas itu sudah pun berlalu.

Menongkah dewasa, agak janggal rasanya bila mana desakan tugas dan berpecahan kami adik-beradik berasrama di serata rantau membuatkan kami dewasa tidak selalu bersama. Berjumpa sekali-sekala habis periksa dan pulang beraya di tiga kampung berlainan mengundang bermacam karenah dan helah. ada drama dan dialog yang agak serius sampaikan gementar jantung bila disergah "Itu hak aku', "apa lagi yang tak cukup selama ini?Kasih-sayang?".

Suatu masa beliau berbaju bersampin bagai untuk menghadiri majlis, dalam sinis bertanya "Kamu masih ingat hari ini hari apa?"

Lalu selancang Lancang Kuning saya membidas, "Ya, lapan tahun dahulu pada tarikh ini mak dah tak ada."

Dan beliau berlalu pergi selepas berkata,"Bagus, kamu masih ingat."

Agak kekok zaman itu bila emas mulai pudar sinarnya. Perbualan kami menjadi janggal dan setiap soalan bertinggalkan jawapan yang tidak habis.

Pernah suatu masa di teluk pantai selatan, beliau menunjukkan sepulau batu di tengah laut, lalu bertanyakan "Kamu boleh sampai ke situ? Jom," ajaknya.

Saya kurang faham motif beliau, adakah menguji atau mencabar. Namun akhirnya kami berdua bertonggok di atas batu hitam itu sambil memandang pengunjung lain yang hanya bermandian di tepi pantai. Terasa saat-saat itu terakam kemas dengan adanya suatu rasa yang istimewa yang hanya kami berdua dapat rasakan.

Maka di situlah kami berdua meluahkan rasa hati. Dan pertanyaan yang jarang didengar dilontarkan. Tidak mungkin ada insan lain yang dapat mendengar biji butir bicara kami. Dalam hiruk-pikuk hilai-ketawa pengunjung yang terpisah oleh air Laut China Selatan antara kami dengan mereka. Dalam tiupan perlahan bayu darat tak mungkin kedengaran bisikan kami. Saya kira laut sedikit masin pada hari itu bila tanpa diundang manik-manik saphire ditarik sang graviti bumi.

"Kamu boleh jadi sejahat-jahat insan di dunia ini asalkan kamu tahu di mana sempadannya. Pada ketika itu nanti baru kamu tahu siapa diri kamu sebenarnya dan pada masa itu kamu akan sedar setiap perbuatan walau sebesar zarah pun akan disukat dan dipamerkan di hadapan kamu." Antara lafaz beliau yang berbekas di telinga kanan saya.

Saya kira lagi zarah itu pastinya sangat halus daripada setitik air mata yang jatuh ke tapak tangan ini, lalu saya genggam ia hingga berbekas di antara jari hantu dan jari manis tangan kanan saya. Dalam anologi sendiri, terbayang seekor penyu dengan beban terpikul di belakangnya, menyelami segenap tujuh lautan, merentasi setiap arus hingga ke dasar yang paling gelap dan panas. Bagaimanakah ia dapat bertemu semula dengan kekasih pertamanya di tengah-tengah arus lautan yang sejuk dan bergelora; dengan luas isipadunya hampir setara (4/3*pi*j^3)? Bila mana di pantai daratan persinggahannya ditinggalkan benih-benih cinta sebagai penyambung warisan.


Zaman emas itu mungkin telah berlalu, tapi sinarnya berbara di sanubari -menjadi suluh dalam kegelapan dan hangat dalam kesejukan.

Seisi dunia mungkin mentertawakan sang penyu, namun ia telah pun sampai ke sempadan yang gelap dan dalam itu. Dan ia telah pun bertemu sang kekasihnya. Digambarkan betapa intimnya mereka sehinggakan air mata kekasihnya itu tumpah ke dalam mata sang penyu, seolah-olahnya telah pulih penglihatan mata dan hatinya yang selama ini buta dengan kilauan emas dunia.

wallahu'alam.

Monday, March 25, 2013

bila menulis lagi . . .

Malam ini akulah seniman akulah pujangga
Hanya kerna terpandangkan sekotak pyrex dan arcopal
Mengingatkan daku harga sebuah persahabatan
Saat sebuah perpisahan
Hutang terlangsai
bila mana ruh dan jasad kasar tercerai.

andai air mata ini bisa terhitung
laksana mutiara hitam yang berguguran
di lantai penerbangan
antara medan, surabaya dan malaya.
masih bisa kau hitung setiap butir yang terkantung
dan putusnya tidak mustahil untuk bertaut; bersambung

maka palsukah pelukan mereka
setiap ciuman, salaman dan senyuman
pada suatu malam 
bila mana kukumpulkan seluruh kudratku yang tersisa
untuk ku hapuskan sengketa keluarga
dari setiap penjuru mata angin dunia
hanya dalam satu malam

maka di mana pula restumu
pada renjisan air mawar
tepung tawar?
di sisipan sampul berwarna?
dalam bungkusan berbunga?
pada salam, pada doa,
dalam puji? dalam cerca? dalam nista? 
dalam pura-pura?
dalam ketawa, dalam deraian air mata.

ku kira setiap lagu terpilih yang diperdengarkan
akan mengingatkan kalian pada suatu kejadian
yang kuat dalam ingatan
atau hampir luput terpadam dalam diam
pada suatu malam
yang kubayangkan akulah rantai penghubung warisan
atau penghapus semangat ikhwan

dan malam ini akulah seniman
akulah pujangga yang menangis
membasuh hati yang sekian lama kukeraskan
kubekukan

aku menulis bukan kerana kamu, kamu dan kamu
aku menulis bukan untuk membuat kamu bersedih dan menangis
mereka yang membaca diari hatiku
dalam diam, dalam sinis
dalam faham, dalam puitis 
lalu di resah bisik dan risik
bertanyakan mengapa aku berhenti menulis, menulis, menulis
lalu berkirakan mahal harga air mataku setitis, titis dan titis.
adakah semahal mutiara medan dan pinggan arcopal yang tak bisa jatuh berpecahan?

maka biar kuberitahu kamu, kamu dan kamu
air mataku ini selaju air hujan dalam setiap mandian
dalam setiap tenang dan dengkur nafas 
tidur di malam hari dinihari di tengah hari

airmata ini lancarnya selancar lancang kuning
bagaikan setiap melodi yang mengiringi
setiap bait dalam gubahanku, terpisah akhirnya dan tidurlah permaisuri

sepantas dan serumit
 iringan petikan gitar filem-filem hindi
yadon ki baraat, andaaz dan bobby

asakan air mata inilah memandikan hati
bila mana berdandan di cerminan pagi
yang kulihat dia, dia dan dia
dalam setiap sisir buat anak kecil pengarang hati
yang kulihat kamu, kamu dan kamu
senyumku penyambung legasi

kini aku tidak lagi khuatir
tiada lagi terpamer bimbang
pada wajah tersayang
bilamana kuhalusi
dalam kisah adam dan hawa terusir
dalam riwayat habil dan qabil
dalam sejarah siti hajar dan ismail
dalam pertemuan musa dan khidir

sebab kutahu di mana tempatku
yang pasti bukanlah pengubah takdir
dan dunia ini bukan bebanku
asalkan telah kuperbuat sehabis baik
sebagaimana dalam ikrar pengakapku
dalam sumpah taat setia kadet bersatu
dalam perjanjian sebelum kulahir
dan lafaz salam dalam setiap tahyat awal dan akhir

maka damaikanlah salam
pada dia kekasih senyapku
dan cinta awal dan akhir

nanti kau tahu
mudah-mudahan kau tahu
erti sayang, kasih dan cinta
yang mana satu, yang mana dahulu.


***efm/ketambulan***