Total Pageviews

Saturday, December 11, 2010

Pisang Emas, Peti Emas & Hutang Emas

Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

`Pantun Melayu Klasik.

Salam.

Indah dan molek sungguh pantun Melayu, berima dan berkias. Dimulakan dengan pembayang dan diakhiri dengan maksud yang mendalam. Jikalau terkena batang hidung sendiri, berbekas di hati. Andai rasa tersindir, siapa makan cili, dialah terasa pedasnya. Namun kehalusan bahasa dan lunak tutur bicara memadamkan api marah dalam sengketa. Bergurau-senda sambil memakan sirih sehelai, pinang sepiak. Jika suka, tunggu. Tidak suka, jalan. Gembira, ketawa. Marah, diam. Itulah Melayu.

Mengapa pisang emas dibawa berlayar?

Orang Melayu dahulunya pengembara di lautan. Jika dari Pahang hendak ke Melaka sekali pun, kena berkolek, bersampan, berlayar berhari-hari mengemudi di sungai, merentas laut dan selat. Apatah lagi berpergian jauh ke negeri atas angin, bawah angin. Terkadang sampai ke alam kayangan. Alam bunian.

Maka pisanglah senang dibawa bekal. Banyak khasiat, rasa pun sedap. Tak perlu dibalut atau disimpan dalam tupperware. Hendak makan, buka kulitnya, dicampak ke tanah, reput menjadi baja. Pokoknya mudah ditanam di laman dapur dan rumah. Tumbuh setandan, dibawa bekal sesikat. Lebih dihantar ke masjid, buat sedekah hari Jumaat, kenduri doa selamat.

Bila berlayar, dibawa mentah, diperam, bila cukup matang, maka masaklah sebiji di atas peti. Boleh dimakan begitu sahaja. Jikalau ada bekal tepung dan gula, boleh digoreng buat jejemput. Dibalut daun pisang, dikukus menjadi lepat. Pagi bersarap lempeng, petang menikmati pengat. Tengah hari santap pisang rebus mencicah sambal, malam mengudap pisang salai. Pendek kata daripada pisang nan satu, banyak juadah tercipta. Orang Melayu. Panjang akalnya.

Mengapa? Mengapa pisang dibiarkan di atas peti? Bukan di dalam peti?

Maka teringat peribahasa lama berbunyi,

"emas berpeti, kerbau berkandang".

Maksudnya, hendak simpan harta benda, biarlah sesuai dengan keadaannya. Kalau ada Enzo sebuah, takkanlah pula dibawa masuk ke kamar tidur. Simpanlah di garaj. Dikunci. Dipasang CCTV dan penggera berbunyi. Upah pengawal menghalau pencuri. Begitulah lebih kurang maksudnya.

Hutang emas boleh dibayar.

Benar, kerana emas bisa dihitung, dinilai dan ditimbang. Mungkin orang Melayu dahulu tidak pandai kalkulus, algebra dan trigonometri, tetapi jikalau bab duit-muit ini, cukup pandai berkira, berhitung. Sebab mereka pun belajar ilmu hisab. Bukan seperti zaman sekarang ini, makin ramai yang belajar ilmu hisap. Hisap rokok, hisap dadah, hisap dada . . . opps, maaf, hisap darah. Hisap gam pun ada. Itu belum lagi hisap pasir.

Apabila berhutang itu, wajib bayar balik. Jikalau tidak, berdosa. Orang yang mati syahid pun, andai meninggalkan hutang semasa hayatnya, ganjaran syahidnya tertangguh. Hutang jangan dibuat main-main. Silap cara, berparang, berperang. Silap gaya, kawan jadi lawan, saudara jadi seteru.

Jikalau hendak buat orang sentiasa teringatkan kita, tak perlu bersusah-payah pakai minyak pengasih. Pinjam sahaja seringgit dua. Makin besar nilai pinjaman, makin kuatlah ingatan orang itu kepada kita. Sampai malam tidur mengigau-ngigau. Kalau berjuta duitnya, lagi parah dibuatnya, sampai meracau-racau. Haru-biru. Huru-hara.

"Hutang budi dibawa mati".

Budi. Apa itu budi? Akal, kebijaksanaan. Budi juga adalah akhlak. Budi itu perbuatan baik, kebajikan.

Budi tidak boleh dinilaikan seperti emas. Bila orang tua bagi petua, sapu bahagian dalam kulit pisang di kulit yang nyamuk gigit supaya terubat sakit. Itu ilmu. Percuma. Tidak kena bayar. Tetapi bermanafaat.

Manusia budiman adalah orang yang berakhlak baik. Cantik pekerti, orang bertanya anak siapakah itu? Oh, anak si polan bin si polan. Tidak ditanya cucu siapakah itu, tidak ditanya pangkat dan jawatannya. Orang budiman juga disayang dan dikenang orang sampai mati. Bila tiada, disebut-sebut molek tingkah lakunya. Dikenang-kenang jasanya.

Orang berbudi, kita berbahasa. Kekadang sesuatu kebajikan itu adakalanya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit, walaupun seluruh muatan dunia ini menjadi harganya. Kerana apa? Kerana kesanggupan dan pengorbanan seseorang itu berbudi di saat-saat genting dan memerlukan.

Misalnya si Ali pada tahun 1983 menghadapi masalah tanahnya akan dilelong kerana hutang bank $5000. Maka saudaranya Ahmad memberi pinjam $5000 supaya tanah si Ali dapat diselamatkan sedangkan Ahmad memerlukan wang itu untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, atau hendak kahwin, atau hendak berniaga, atau hendak naik haji. Kerana sayangkan Ali, Ahmad tangguhkan dahulu hasratnya.

Maka Ahmad tidak dapat ijazah. Tunang si Ahmad, Kiasatina, gadis Melayu terakhir paling cun dalam Kampung Sungai Tupah dikebas jadi bini ke-empat Orang Kaya Bain. Cita-cita hendak menternak kambing terpaksa dilupakan lalu menjadi pembantu Bai Singh jaga lembu. Niat ke Mekah ditangguhkan dahulu kerana terpaksa mengumpul simpanan dan menunggu giliran.

Maka 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun masa berlalu, Datuk Ali kini megah dengan Menara Emas Holdingnya, apartment-apartment sewa, stable-stable Equestrian dan factory-factory IKS, apakah wajar Datuk Ali memberi cek berpalang RM5000.00 payable to Ahmad bin Dhurrah sebagai langkah membayar hutang yang dipinjamnya pada tahun 1983 dahulu? Samakah nilainya? Terbayarkah hutangnya?

Jika RM 5000 tidak cukup, 10K cukup? 100K? 1 KK? 1KKK?

Datuk Ali, andai diserahkan seluruh kekayaanmu, bisakah kau menggantikan masa yang hilang yang sepatutnya membolehkan Ahmad bin Dhurrah menjadi Professor Madya di Universiti of Parit? Bisakah kau mencari pengganti Kiasatina yang kini sudah pun menjadi nenek bercucu dua sedangkan Ahmad masih membujang lapok membujang terlajak? Dapatkah engkau memberikan Ahmad Dhurrah sebuah ladang kambing berkapasiti 100,000 ekor bertaraf dunia dan menjadi hab halal di rantau Asia ini yang terkenal dengan reputasinya dan penjenamaannya, atau dapatkah engkau memanggil saudaramu yang kini koma diserang angin ahmar sebagai Haji Ahmad bin Dhurrah?

Maka hutang budi dibawa mati.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali tiga perkara, pertama : ilmu yang bermanfaat, kedua : sedekah jariah dan ketiga : doa anak-anak yang soleh.

Cukuplah sampai di sini, saya mengundur diri. Syukur kepada Yang Maha Suci.

Buah strawberi enak dan segar
Ke Cameron Highland tolong belikan
Saya sendiri masih belajar
Andai kurang ajar tolong nasihatkan.

~Pantun Melayu Moden.

Wasalam.

p/s: Pinjam 10 ringgit. He he.


Thursday, October 7, 2010

Kembara : Hati Emas (HQ Audio)




Hati Emas
Artist: Kembara/ M.Nasir

Berjalan di tanah gersang
Mentari mencekam dada
Debu-debu di jalanan
Menjadi teman setia

Tiada lain tujuanku
Hati emas yang ku cari
Kisahnya di hujung dunia
Mengapa tak ku temui

Oh! terdengar suara halus
Bagai dengar dan menghilang
Katanya pulanglah oh! anakku
Ia tiada di sini

Kembara
Puas sudah ku mengembara
Ke mana perginya oh! cahaya
Mencari hati emas bukannya mudah
Di masa kini adakah kau peduli

Mungkinkah dikau miliki
Hati emas murni suci
Inginku menjadi sahabatmu
Hingga akhir hayat nanti

Kembara
Puas sudah ku mengembara
Ke mana perginya oh! cahaya
Mencari hati emas bukannya mudah
Mungkin selamanya takkan aku temui

menyeberangi jambatan emas


Salah satu jambatan di Putrajaya. Anda ada maklumat menarik tentang jambatan ini?
Marilah berkongsi pengetahuan.



Salam.

Peribahasa melayu yang berbunyi "menyeberangi jambatan emas" membawa maksud berjuang untuk mencapai kebahagiaan sesudah kemerdekaan diperoleh.

Bermulanya blog ini adalah pada penghujung Syawal 1431H. Bulan yang mana umat Islam meraikan kemenangan setelah selesai menjalani rukun ke-3 Islam iaitu ibadah puasa di bulan Ramadhan. Kemenangan menundukkan hawa nafsu dan kembali kepada fitrah manusia.

Ramadhan tahun ini kita juga menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 yang jatuh pada 31 Ogos 2010M. Memperingati dan meraikan kebebasan negara daripada belenggu penjajah. Dalam bulan Ramadhan ini juga kita merdeka - bebas daripada hasutan dan bisikan syaitan (kerana dalam bulan ini syaitan pula yang dibelenggu).

Maka semestinya sekarang ini kita dalam perjuangan mencapai kebahagiaan iaitu mencapai suasana senang, aman damai serta gembira.

Daripada Fadhalah bin Ubaid r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Berbahagialah orang yang diberi hidayat kepada Islam, manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada."

(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad) ~ maksud hadis dipetik daripada buku 300 Hadis Bimbingan Ke arah mencari reda Allah.

Sebebas mana sekalipun setelah merdeka, beringatlah bahawa kita tetap hamba-Nya di muka bumi ini. Beringatlah juga bahawa ada satu lagi jambatan yang perlu kita seberangi di akhirat kelak. Lebar atau sempitnya jambatan itu nanti, bergantung kepada amalan kita di dunia sekarang.

Itulah titian (sirat).