Total Pageviews

Thursday, May 9, 2013

Zaman Emas Itu Telah Berlalu

Beliau jarang memuji saya.

Antara pesannya yang berbekas di telinga kiri "sumbatkan pasir ke dalam mulut mereka yang puji-puji kamu".
Kerana setiap pujian itu harus kembali kepada Dia Yang Berhak.

Pernah sekali saya bertanyakan beliau, "enak tak daging ayam peliharaan sendiri ini?"
Tanya beliau pula, " adakah kamu tauke ayam kurus?"

Saya ulangi lagi pertanyaan tersebut. Namun jawapan berbalik kepada soalan yang sama, sehinggalah saya mengaku, " ya, saya tauke ayam kurus."

dan dalam anggukan disulami kunyahan nasi berlaukkan ayam masak cili api kegemaran kami, terdengar perkataan 'sedap' dalam nada yang perlahan.

Sebagaimana kuningnya kuah lemak cili api berkenaan, zaman emas itu telah berlalu.

Dan amat jarang kini saya dapat menikmati keenakan masakan seperti itu, bersama teman makan yang peluh terpecik sewaktu rancak mengayuh suapan. "Dalam yang makan," ujar beliau. Cuma sesekali kalau pulang ke utara, atau singgah di kampung yang negerinya bersempadankan sungai, dapatlah sipi-sipi mengulangi nostalgia itu. Makan dalam.

Di bibirnya sentiasa menceritakan perihal Rasullulah dan para sahabat - Abu Bakar al Siddiq, Umar al-Khattab, Usman bin Affan dan Saidina Ali Karamallahu Wajhah.

Maka kami adik-beradik diajarkan menunggang kuda, antara riadah yang dianjurkan oleh Baginda. Tapi saya tidak sekuat abang, dengan kaki dan tangannya gagah mengekang pelana dan ras. Pernah suatu masa kuda tunggangan saya berlari membelah padang dan berhenti betul-betul di tepi jalanraya. Mujur tak dilanggar lori balak. Dalam selorohnya "dia ni sesuai jadi jockey, badan ringan tak macam abang dia".

Ya, sekali lagi zaman emas itu telah berlalu. Meskipun kini ada ketika berpeluang menunggang di dalam paddock pun jadilah, buat lepas gian.

Namun bab berenang tidak pula diajarnya. Cuma dibawa kami adik-beradik ke sungai berbatu, berendam setelah pekena paha kambing bakar. Belajar sendiri-sendiri. Ketika adik-beradik lain riang-ria bermain air, saya mencari tempat yang dalam untuk menyelam dan berenang-renang ke tepian. Pernah suatu masa, hanyut dilarikan jeram. Mujur tak lemas atau sampai ke selat Melaka. Pula selepas kejadian dituduh pula membaling tulang ayam ke kepala adik. Bila masa pula saya jadi hantu air di situ?

Dan lagi zaman emas itu sudah pun berlalu.

Menongkah dewasa, agak janggal rasanya bila mana desakan tugas dan berpecahan kami adik-beradik berasrama di serata rantau membuatkan kami dewasa tidak selalu bersama. Berjumpa sekali-sekala habis periksa dan pulang beraya di tiga kampung berlainan mengundang bermacam karenah dan helah. ada drama dan dialog yang agak serius sampaikan gementar jantung bila disergah "Itu hak aku', "apa lagi yang tak cukup selama ini?Kasih-sayang?".

Suatu masa beliau berbaju bersampin bagai untuk menghadiri majlis, dalam sinis bertanya "Kamu masih ingat hari ini hari apa?"

Lalu selancang Lancang Kuning saya membidas, "Ya, lapan tahun dahulu pada tarikh ini mak dah tak ada."

Dan beliau berlalu pergi selepas berkata,"Bagus, kamu masih ingat."

Agak kekok zaman itu bila emas mulai pudar sinarnya. Perbualan kami menjadi janggal dan setiap soalan bertinggalkan jawapan yang tidak habis.

Pernah suatu masa di teluk pantai selatan, beliau menunjukkan sepulau batu di tengah laut, lalu bertanyakan "Kamu boleh sampai ke situ? Jom," ajaknya.

Saya kurang faham motif beliau, adakah menguji atau mencabar. Namun akhirnya kami berdua bertonggok di atas batu hitam itu sambil memandang pengunjung lain yang hanya bermandian di tepi pantai. Terasa saat-saat itu terakam kemas dengan adanya suatu rasa yang istimewa yang hanya kami berdua dapat rasakan.

Maka di situlah kami berdua meluahkan rasa hati. Dan pertanyaan yang jarang didengar dilontarkan. Tidak mungkin ada insan lain yang dapat mendengar biji butir bicara kami. Dalam hiruk-pikuk hilai-ketawa pengunjung yang terpisah oleh air Laut China Selatan antara kami dengan mereka. Dalam tiupan perlahan bayu darat tak mungkin kedengaran bisikan kami. Saya kira laut sedikit masin pada hari itu bila tanpa diundang manik-manik saphire ditarik sang graviti bumi.

"Kamu boleh jadi sejahat-jahat insan di dunia ini asalkan kamu tahu di mana sempadannya. Pada ketika itu nanti baru kamu tahu siapa diri kamu sebenarnya dan pada masa itu kamu akan sedar setiap perbuatan walau sebesar zarah pun akan disukat dan dipamerkan di hadapan kamu." Antara lafaz beliau yang berbekas di telinga kanan saya.

Saya kira lagi zarah itu pastinya sangat halus daripada setitik air mata yang jatuh ke tapak tangan ini, lalu saya genggam ia hingga berbekas di antara jari hantu dan jari manis tangan kanan saya. Dalam anologi sendiri, terbayang seekor penyu dengan beban terpikul di belakangnya, menyelami segenap tujuh lautan, merentasi setiap arus hingga ke dasar yang paling gelap dan panas. Bagaimanakah ia dapat bertemu semula dengan kekasih pertamanya di tengah-tengah arus lautan yang sejuk dan bergelora; dengan luas isipadunya hampir setara (4/3*pi*j^3)? Bila mana di pantai daratan persinggahannya ditinggalkan benih-benih cinta sebagai penyambung warisan.


Zaman emas itu mungkin telah berlalu, tapi sinarnya berbara di sanubari -menjadi suluh dalam kegelapan dan hangat dalam kesejukan.

Seisi dunia mungkin mentertawakan sang penyu, namun ia telah pun sampai ke sempadan yang gelap dan dalam itu. Dan ia telah pun bertemu sang kekasihnya. Digambarkan betapa intimnya mereka sehinggakan air mata kekasihnya itu tumpah ke dalam mata sang penyu, seolah-olahnya telah pulih penglihatan mata dan hatinya yang selama ini buta dengan kilauan emas dunia.

wallahu'alam.